Pembelajaran bagi kanak-kanak sebenarnya bukan sahaja bermula ketika mereka masuk sekolah. Sebaliknya semenjak masih dalam kandungan ibunya lagi. Kadar pembelajaran semakin ketara apabila mereka dilahirkan dan meningkat usia. Misalnya, bayi yang baru dilahirkan akan menyusu hampir setiap jam.
Dengan pengajaran dari ibunya, beberapa hari selepas itu, dia akan belajar menyusu 3 atau 4 jam sekali. Bila kanak-kanak meningkat umurnya lapan bulan biasanya telah pandai merangkak. Kanak-kanak yang sihat akan merangkak ke segenap sudut rumah. Setiap benda yang baru akan diambil, dilihat, dimasukan ke dalam mulutnya atau dibuangnya ke lantai.
Inilah proses bayi dan kanak-kanak belajar. Kalau bayi yang sentiasa dikawal ketat dari melakukan pekara-pekara di atas, perkembangan jiwanya akan terbantut. Seeloknya ibu atau penjaga memberi peluang bayi mengenali dunia yang baru baginya. Cuma perlulah diberi tumpuan atau perhatian agar bayi tidak menelan benda-benda yang merbahaya.
Kanak-kanak akan dapat bercakap apabila berumur lebih dua tahun. Di peringkat ini mereka kerap kali bertanya, suka mendengar ceita dan gemar bercerita iaitu cerita dari khayalan mereka sendiri. Ibu bapa atau penjaga yang tidak mengambil berat atau tidak melayan pebualan anak-anak mereka, besar kemungkinan membunuh minat anak-anak mereka untuk belajar.
Persoalannya sekarang ialah patutkah kanak-kanak kecil diajar membaca? Ya, kanak-kanak kecil patut diajar membaca. Lebih awal atau lebih muda mereka diajar lebih senang dan cepat mereka pandai membaca. Belajar dari kecil membanyakkan ilmu yang boleh mereka kuasai. Mengajar anak-anak membaca di peringkat awal memanglah payah dan kadangkala menjemukan. Di sinilah kita perlu banyak bersabar menghadapi ragam mereka dan bersabar untuk sentiasa mendorong mereka supaya suka membaca.
Keupayaan kanak-kanak membaca ada kaitan rapat dengan perkembangan otak, penglihatan dan pendengaran mereka. di antara anggota-anggota manusia, otaklah sistem saraf yang berkembang paling pesat semasa di peringkat kanak-kanak. Otak mula berkembang dengan pesatnya sejak pertengahan mengandung dan menjadi perlahan di antara umur satu dan dua tahun. Sebab itulah digalakkan ibu yang mengandung banyak membaca Al-Quran kerana bayi di dalam kandungannya sudah mula mendengar dan belajar.
Sereblum adalah satu bahagian otak manusia yang berkembang paling pesat. Kanak-kanak berumur lima belas bulan sudah mempunyai jumlah sel sama banyak dengan sereblum otak dewasa. Bila kanak-kanak berumur dua puluh empat bulan, bahagian lain otaknya menyerupai 75% otak orang dewasa. Bila kanak-kanak berumur empat tahun bahagian otak ini menyerupai keseluruhan otak dewasa.
Bayi yang baru dilahirkan telah dapat melihat tetapi pandangannya kabur. Sebab itulah dia hanya dapat melihat benda-benda yang besar apabila diletakkan dekat dengan mukanya. Dari masa ke semasa ketajaman penglihatan bayi akan meningkat dan dia kian belajar dengan melihat.
Perkembangan ketajaman daya lihat kanak-kanak menerangkan kepada kita kenapa kanak-kanak kecil menggemari huruf-huruf yang besar. Kaedah mengajar dengan tulisan besar ini boleh dibuat menggunakan poster dan kad-kad kecil untuk mengenal huruf-huruf A sampai Z dan alif hingga ya. Kaedah yang sama boleh juga digunakan untuk mengenal alam sekitar kanak-kanak dengan melukis gambar-gambar yang besar. Bahkan kaedah ini juga boleh digunakan untuk mengajar anak-anak sifat-sifat Allah,nama-nama Rasul, nama malaikat dan sebagainya.
Inilah cara belajar yang paling berkesan. Biarpun mereka sukar menyebutnya tetapi semua perkara yang mereka belajar akan di simpan di dalam 'memori' otak mereka. Bila dewasa, mereka akan mudah mengingatinya kerana perkara tersebut pernah di pelajarinya suatu ketika dulu.
Mengajar kanak-kanak kecil membaca tidak boleh dengan memaksa mereka kerana di peringkat ini mereka lebih suka bermain. Jadi ibu bapa hendaklah menjadikan belajar membaca itu satu permainan yang paling seronok pada mereka dan bukannya satu pekerjaan, denda atau satu bebanan pada mereka. Jangkamasa permainan itu biarlah pendek. Dalam sehari kita boleh ajak anak-anak kita bermain sambil belajar, dan setiap permainan itu hendaklah memakan masa beberapa minit sahaja.
Menamatkan setiap permainan itu juga memerlukan kebijaksanaan kita. Cara yang paling baik ialah menamatkan permainan itu sebelum anak itu mahu berhenti atau telah jemu. Lantaran itu anak-anak itu tentu akan meminta supaya 'bermain membaca' lagi. Dengan cara ini, Insya-Allah akan menyuburkan lagi jiwa anak-anak untuk membaca dan bukannya membunuh minat semulajadinya.
Apabila mereka pandai membaca lebih awal. mereka akan merasa seronok untuk ke sekolah. Mereka tidak akan merasa rendah diri dengan kawan-kawan sebaya kerana tidak pandai membaca. Malah sudah tentu akan terjalin hubungan yang baik di antara guru dan anak-anak. Jelas bahawa banyak manfaat yang diperolehi bila kanak-kanak kecil diajar membaca lebih awal.
Ibu bapa harus mengetahui bahawa kanak-kanak yang berumur 4 tahun lebih senang diajar membaca dari kanak-kanak yang berumur 5 tahun. Begitu juga yang berumur 3 tahun lebih mudah diajar dari yang berumur 4 tahun. Dalam keghairahan kita hendak mengajar anak-anak membaca, pengajian membaca Al-Quran hendaklah diutamakan. Justeru itu ajarlah anak-anak kita mengenal huruf-huruf Al-Quran di peringkat yang seawal mungkin dan belajar membaca Al-Quran dengan menggunakan kaedah hafalan dan mengenal huruf yang ditulis dalam saiz besar. Dan adalah lebih mudah bagi anak-anak untuk dilatih menghafal Al-Quran berbanding kita yang sudah dewasa ini, kerana semasa peringkat itu kanak-kanak hatinya bersih dan daya ingatannya masih baik. Ini adalah cara yang terbaik untuk melatih anak-anak kita membentuk kuasa ingatan yang baik dan kuat. Ingatan yang kuat akan lebih menyenangkan proses mengajar kanak-kanak membaca
Thursday, April 24, 2008
Bagaimana Kanak-Kanak Belajar????
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment